Pernah tak kamu semak tarikh luput barangan mekap atau kamu main bedal sahaja tanpa menghiraukan? Walaupun ada yang cakap pakai sikit-sikit boleh jimat dan pakai lama, tetapi mekap expired ada bahayanya!
Seperti seorang gadis di Twitter, @hoossytutu berkongsi pengalamannya menggunakan mekap expired. Dalam perkongsiannya itu, dia mendedahkan mukanya telah menjadi bengkak, breakout, luka dan bernanah.
Muka Berubah Jadi Bengkak & Bernanah
“Tolong semak dulu tarikh luput mekap kamu supaya tak breakout, bengkak, luka dan bernanah.”
Muat naik beberapa gambar selepas menggunakan mekap expired, gadis ini berkongsi telah menggunakan foundation dan makeup remover. Ketika itu mukanya tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Tetapi segalanya berubah apabila keesokkan hari mukanya menjadi gatal-gatal dan bengkak terutamanya di bahagian mata. Setelah mendapat rawatan dan diberikan ubat, matanya pula menjadi merah dan mengeluarkan nanah.
Tambah gadis ini lagi, situasi tersebut berlarutan selama seminggu dan ianya berlaku pada pertengahan tahun lepas.
Rupanya Ada Juga Individu Yang Pakai Mekap Expired
Menjengah ke ruangan komen di pautan gadis ini, rupa-rupanya masih ada lagi yang memakai mekap expired. Sampaikan ada yang mengalami kegatalan di wajah, naik jerawat dan ada yang bibir berdarah.
Kenapa Pula Mekap Expired Bahaya?
Memang sayang nak buang mekap yang masih ada lagi walaupun sudah expired, tetapi kamu perlu tahu apakah bahayanya jika kamu tetap menggunakan mekap tersebut.
#1 Jerawat
Jerawat kebiasaannya berlaku pada mereka yang menggunakan mekap expired. Tambah-tambah lagi bila gunakan foundation atau cream blush kerana kandungan minyak dalamnya akan terkumpul di bahagian atas.
Jadi bila letak pada wajah, minyak tersebut akan sumbatkan liang pori di wajah dan menyebabkan pertumbuhan jerawat.
#2 Masalah Mata
Jika jerawat sudah dianggap biasa, tapi hadapi masalah bahagian mata memang parah! Situasi ini terjadi disebabkan oleh penumpukan bakteria oleh mekap expired di sekitar kelopak mata dan bulu mata.
Kesannya kamu akan mengalami masalah mata menjadi sakit, berair, merah sehinggakan ada yang terjadi bisul dan jerawat. Lagi teruk, kamu sangat berisiko terkena jangkitan mata yang memerlukan rawatan khas.
#3 Kerengsaan Kulit
Pernah tak kulit muka merengsa selepas gunakan mekap expired? Jika tidak, kamu perlu tahu mekap expired mengandungi bakteria yang sangat tinggi. Bila pakai sahaja di muka, bakteria ini akan bertindak balas dengan kulit sehingga kulit merengsa seperti dinaiki bintik merah, kemerahan dan kulit mengelupas.
#4 Bibir Membengkak
Tak semestinya produk muka sahaja boleh memberi kesan bahaya, produk bibir juga boleh. Jika kamu masih lagi memakai lipstick atau lipbalm yang expired, produk ini boleh merosakkan bibir.
Jangan terkejut kalau keesokkan harinya kamu bangun dengan bibir bengkak atau paling teruk sekali mengelupas, bernanah dan luka.
Jadi semak cepat-cepat barangan mekap kamu sama ada sudah expired atau belum. Jika ada yang expired, jangan tak buang pula ye.