Bila kali terkahir kamu tukar bra?
Kalau agak-agak dalam 6 bulan lepas atau macam tahun lepas, erm… Maknanya kamu kena beli dan gantikan bra dengan segera!
Kalau kamu nak tahu, pakar mengesyorkan setiap wanita untuk tukar bra bagi setiap 180 kali pemakaian atau selepas 6 bulan.
Jadi bila jarang-jarang atau tak pernah tukar bra, apa yang akan jadi? Baca perkongsian di bawah;
Payudara Tak Selamanya Dalam Saiz Yang Sama
Fakta untuk kamu, saiz payudara kita akan berubah mengikut saiz badan dan usia. Bila tak tukar bra dalam tempoh yang lama, ia akan beri kesan pada payudara dan juga badan.
Lagipun bila payudara makin membesar, bra akan menjadi terlampau ketat sehingga boleh rosak seperti besi terkeluar atau cup terkoyak. Bukan itu sahaja, tali pengikat bra pun boleh menyebabkan rasa sesak dan sakit di bahagian bahu dan badan atas.
Apa Yang Akan Terjadi Kalau Tak Tukar Bra?
Macam-macam boleh jadi pada badan, bukan sahaja luaran malah dalaman pun boleh terkesan disebabkan oleh pemakaian bra yang tidak sesuai.
#1 Kerap sakit kepala
Ramai yang tak tahu, bra yang salah pun boleh menyebabkan sakit kepala. Ini kerana otot-otot badan dalam bra terpaksa bekerja lebih keras untuk kekalkan bentuk badan yang baik. Bila berada dalam tempoh yang lama, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sakit kepala.
#2 Alami refluks asid
Pakai bra yang ketat atau salah pun boleh menyebabkan beberapa gejala refluks asid seperti pedih ulu hati, sakit dada dan gastrik.
Lagilah kalau pakai bra yang ketat, tekanan di bahagian perut boleh menyebabkan asid dalam perut ditolak ke bahagian esofagus bawah sehingga menyebabkan refluks asid terjadi.
#3 Masalah pada kulit badan
Pernah tak badan kamu mengalami masalah kulit seperti folikulitis, keradangan, ruam atau gatal-gatal? Jika ya kamu perlu tukar bra dengan segera.
Bila pakai bra yang tak sesuai atau ketat, bra akan bergesel pada kulit sehingga badan mengeluarkan peluh berlebihan, kerengsaan dan keradangan. Malah ketika ini bakteria yang berada di permukaan kulit juga akan mudah masuk dalam folikel rambut sehingga terjadinya ruam dan gatal-gatal di badan.
#4 Sakit pada bahagian badan atas
Bukan sahaja bra yang ketat boleh beri kesan pada badan, bra yang longgar pun sama. Jika pakai bra longgar, kamu akan alami sakit pada bahagian baju dan belakang kerana ia tidak dapat menyokong payudara.
Malah bila ketatkan bahagian tali, ia akan beri kesan pada bahagian bahu seperti sakit, kerengsaan dan lenguh.
#5 Payudara asyik terkeluar dari cup
Penatlah kejap-kejap nak masukkan payudara dan adjust supaya masuk dalam cup dengan betul.
Apabila payudara mula membesar dan berubah saiz, cup bra yang sedia ada akan menjadi kecil dan tidak sesuai. Bila pakai cup yang tak sesuai ia akan menyakitkan dan merimaskan payudara, lagi-lagi bila ada besi di bawahnya.
Nasihat penulis jika kamu sering alami situasi di atas, segeralah tukar bra kamu kepada yang baru. Dan jangan lupa untuk amalkan tukar bra pada setiap 6 bulan okay?