Setiap wanita aliran darah haid berbeza-beza, ada yang keluar sedikit, ada juga segelintir mungkin berat dan terlalu banyak serta sehingga berlakunya kekejangan.
Dipetik dari Healthline, wanita dengan pendarahan haid tidak normal mungkin mengalami keadaan yang disebut menorrhagia. Keadaan ini menyebabkan aliran darah keluar sangat berat sehingga anda perlu menukar pad setiap jam.
Bila pendarahan berat, anda juga mungkin mempunyai tanda-tanda anemia, seperti keletihan atau sesak nafas dan juga kekejangan yang teruk.
Menurut Hello Doktor, beberapa keadaan atau masalah boleh menyebabkan pendarahan berat. Antara penyebab pendarahan haid berat, termasuklah…
- Foto – Healthline
Ketidakseimbangan hormon
Masalah seperti PCOS dan kelenjar tiroid yang tidak aktif (hipotiroidisme) boleh mempengaruhi pengeluaran hormon. Perubahan hormon menjadikan lapisan rahim anda menebal dengan lebih banyak berbanding kebiasaan, lantas menyebabkan pendarahan berat.
Fibroid atau polip
Petumbuhan bukan bersifat kanser di dalam rahim ini boleh menyebabkan pendarahan yang lebih berat daripada biasa.
Endometriosis
Keadaan ini disebabkan oleh tisu yang melapisi rahim anda tumbuh pada bahagian lain dari pelvis. Di dalam rahim, tisu itu akan membengkak setiap bulan dan kemudiannya digugurkan ketika haid. Apabila ia tumbuh di organ lain (pada ovari atau tiub fallopio) tisu itu tidak lagi mempunyai tempat untuk dituju.
Adenomiosis
Sama seperti endometriosis, adenomiosis adalah keadaan yang berlaku apabila tisu yang biasanya melapisi rahim tumbuh pada dinding rahim. Apabila tidak mempunyai tempat dituju, maka berlaku pengumpulan yang menyebabkan rasa sakit.
Kanser
Kanser rahim atau serviks mampu sebabkan pendarahan berat, namun barah ini sering didiagnos selepas menopaus.
Keadaan terbaik untuk mengetahui sama ada haid anda sangat berat adalah pergi berjumpa dengan doktor.