Tahukah anda bahawa pewarna merah yang banyak digunakan pada makanan dan kosmetik sebenarnya datang dari serangga yang bernama ‘Cochineal’? Terkejut?
Pendek kata makanan atau kosmetik yang ada warna merah, merah jambu, oren, kekuningan seperti aiskrim, yogurt, air minuman, skittles, dan banyak lagi terhasil dari serangga ini.
- Foto – Pinterest
Dikatakan serangga ini dikeringkan dan digesek-gesek sampai hancur untuk mengeluarkan warna merah darah? Ada juga yang mengatakan pewarna ini haram kerana dihasilkan dari serangga? Sekejap jangan main serkap jarang dulu, baca di sini.
Ini Kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Jakim
Dipetik dari Mufti Wilayah Persekutuan, cochineal adalah sejenis serangga umpama kumbang yang mana melalui proses-proses tertentu, daripada serangga tersebut dapat menghasilkan pewarna merah.
Pewarna ini banyak digunakan di dalam industri pemakanan sebagai pewarna makanan dan juga dalam kosmetik seperti pewarna bagi gincu bibir.
- Foto – Pinterest
Cochineal adalah serangga yang mana darahnya tidak mengalir. Di dalam fiqh, serangga jenis sebegini adalah suci. Oleh itu pewarna yang diambil dari cochineal ini adalah suci.
Dipetik dari Jakim, cochineal adalah sejenis serangga yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan boleh dimanfaatkan oleh manusia.
Penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan bahan gunaan adalah diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana tidak mendatangan kemudaratan.
Cara Penghasilan Serangga Cochineal Keluarkan Warna Merah
Diambil dari Business Insider, serangga cochineal berasal dari Mexico dan Amerika Selatan, dan ia bukanlah kumbang secara teknikal. Ia kecil dan hidup di tanaman kaktus, biasanya kaktus yang berduri.
Jadi bagaimana serangga ini dituai dan mengeluarkan warna? Salah satu adalah cara tradisional di mana petani mengambil serangga dengan tangan, setelah semua serangga dikumpulkan, petani curah ke papan kayu.
- Foto – Genetic Literacy project
Selama lima hingga enam minit, petani akan menggoncang serangga dalam proses yang akhirnya membunuh serangga sambil mengekalkan warnanya. Ada cara lain untuk membunuh serangga, seperti menggunakan air panas atau oven.
Sebaik sahaja ia mati, dibiarkan di luar di bawah sinar matahari selama dua hingga tiga hari untuk kering. Tidak digalakkan biar semalaman kerana kelembapan akan melambatkan proses pengeringan.
Mana-mana proses yang digunakan, ia memerlukan lebih 70,000 serangga cochineal untuk membuat hanya 1 paun pewarna cochineal.
- Foto – Business Insider
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyebut cochineal adalah serangga yang suci kerana ia tidak berdarah.