Mungkin ini adalah lamaran perkahwinan yang paling dramatik dan ia dilakukan di hadapan jutaan penonton ketika sedang berlangsungnya acara sukan paling gemilang di Olimpik Rio 2016.
Seorang atlet selam negara China, He Zi baru sahaja menerima pingat perak untuk acara papan anjal wanita 3 meter yang disertainya semalam.
Tambahan pula, dia kemudiannya menerima kejutan yang lebih indah apabila teman lelakinya, Qin Xai sambil bersaksikan penonton di stadium dan dari seluruh dunia melutut di hadapannya.
Qin yang juga merupakan seorang atlet selam, telah memenangi pingat gangsa bagi acara papan anjal lelaki berirama 3 meter pada minggu lalu, akhirnya mampu menarik nafas lega apabila He Zi mengatakan ‘ya’ kepada lamarannya.
“Kami telah berpacaran selama 6 tahun, tetapi saya tidak menyangka bahawa dia akan melamar saya hari ini”, jelas He Zi.
“Dia telah banyak kali berjanji tetapi apa yang buat saya jatuh hati terhadap dirinya adalah kerana dia merupakan satu-satunya lelaki yang boleh saya letakkan kepercayaan untuk seumur hidup saya,” tambahnya.