Sejak kecil, kita didedahkan dengan kepentingan meminum air putih dalam kuantiti yang cukup supaya badan menjadi sihat.
Bagaimanapun, kajian terbaharu mendapati pengambilan cairan tersebut secara berlebihan dapat memudaratkan tubuh.
Seorang doktor di Universiti Colorado, Amerika Syarikat, Chris McStay berkata, ketika seseorang minum terlalu banyak air, kandungan garam dalam tubuh akan menurun secara sangat drastik.
“Perkara ini dinamakan sebagai hiponatremia iaitu keracunan air. Keracunan air lazimnya terjadi apabila seseorang minum lebih banyak daripada kemampuan ginjal mereka mengeluarkan semula cecair itu,” jelasnya.
Jika hal tersebut tidak ditangani, ia akan menyebabkan sel otak membengkak dan seterusnya mengalami koma atau kejang badan.
Bagi menangani masalah tersebut, seseorang disaran supaya mengambil air tidak lebih daripada jumlah yang sepatutnya.