Jerebu yang meliputi Lembah Klang, Shah Alam dan Putrajaya sekarang mungkin berpunca daripada kebakaran di Riau, Sumatera.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, memang kebakaran hutan sedang berlaku di Riau.
“Kitaran angin membawa asap dari sana ke Lembah Klang, Shah Alam dan Putrajaya.
“Namun kita sedang memantau keadaan di Riau sejak semalam,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah menulis surat kepada Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Dr Siti Nurbaya Baka, untuk membincangkan mengenai kemungkinan penyelesaian kepada masalah jerebu.
“Saya menulis surat kepadanya pada 22 Ogos lalu mengenai perkara ini namun belum mendapat jawapan,” katanya.
Wan Junaidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan menasihatkan orang ramai, terutama kanak-kanak dan mereka yang berpenyakit kronik supaya mengurang atau mengelak daripada melakukan aktiviti luar.
Setakat 4 petang tadi, 23 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan indeks pencemaran udara (API) sederhana antara 51 dan 100 dengan bacaan tertinggi 100 di Tanjung Malim, Perak.
Bacaan di Batu Muda, Kuala Lumpur (99); Putrajaya (88); Shah Alam, Selangor (88); Petaling Jaya, Selangor (86).
Bacaan antara 0-50 diklasifikasi sebagai baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat ), 201-300 (sangat tidak sihat) dan lebih 300 (berbahaya).