Penganjur United Buddy Bears (UBB) sudah mengalihkan dua buah patung beruang yang didakwa mempunyai ayat Al-Quran pada badan patung berkenaan.
Exco Agama, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, beliau sudah mengarahkan penganjur untuk mengalihkan patung berkenaan yang diletakkan di Padang Kota Lama untuk tontonan awam itu selepas mendapat maklumat berhubung perkara itu.
Abdul Malik berkata, setelah meneliti ayat berkenaan serta membuat rujukan kepada Mufti Pulau Pinang, ia disahkan bukan ayat Al-Quran sebaliknya tulisan Arab.
“Setelah mendapat maklumat berhubung perkara ini, saya terus ke Padang Kota bagi melihat sendiri tulisan yang didakwa ayat Al-Quran itu. Setelah mengamati dan merujuk kepada mufti, ia disahkan bukan ayat Al-Quran sebaliknya pepatah Arab dalam hadis yang ditulis dalam bahasa Arab. Pepatah itu bersifat etika global (etika yang baik di peringkat antarabangsa).
“Bagaimanapun, saya tetap mengarahkan penganjur mengalihkan dua buah patung beruang walaupun tulisan Arab berkenaan hanya terdapat pada sebuah patung sahaja. Tindakan itu bagi mengelakkan salah faham berterusan di kalangan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, gambar patung beruang UBB yang didakwa tertulis ayat suci Al-Quran pada badan patung berkenaan menjadi viral di laman sosial Facebook.
Terdapat pelbagai reaksi berhubung perkara itu dan kebanyakannya memarahi Kerajaan Pulau Pinang dan penganjur yang didakwa tidak sensitif tentang perkara itu.
Menjawab dakwaan Kerajaan Pulau Pinang tidak sensitif, Abdul Malik berkata, perkara itu tidak timbul kerana patung UBB itu sudah menjelajah ke seluruh dunia termasuk negeri Selangor.
“Saya harap perkara seperti ini tidak diperbesar-besarkan dengan menyalurkan maklumat yang tidak betul terutamanya di laman sosial,” katanya.