Siapa sahaja yang tidak tahu mengenai taman tema air terbesar di Asia Tenggara ini? Sunway Lagoon sentiasa tampil menyediakan hiburan menarik untuk seisi keluarga menghabiskan masa bersama-sama. Persekitaran yang menghijau, dikelilingi pepohon nan rendang selain terdapat pelbagai aktiviti istimewa untuk disertai oleh pengunjung tidak kira usia, Sunway Lagoon kini memperkenalkan satu lagi tarikan yang dekat dengan jiwa kanak-kanak.
Ayuh terokai dunia yang wujud di sebalik hutan hujan tropika sebesar 10 ekar! Kini pusat hiburan ini menjadi realiti dijayakan bersama oleh kolaborasi antara pihak Sunway dan Viacom International Media Networks (VIMN) yang mengumumkna pembukaan taman tema pertama Nickelodeon di Asia -Nickelodeon Lost Lagoon di Sunway Lagoon, Malaysia.
Majlis perasmian yang diadakan pada 2 Februari lepas turut dihadiri tetamu kehormat seperti Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohamed Azmin Bin Ali; Pengasas Kumpulan Sunway, Timbalan Pengerusi Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah; Timbalan Pengerusi Kumpulan Sunway dan Mark, Tan Sri Datuk Seri Razman M. Hashim dan Mark Whitehead sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Urusan, VIMN Asia.
Majlis pelancaran taman tema berkenaan yang akan dibuka kepada umum keesokkan harinya itu di meriahkan dengan letusan bunga api melalui mercu ikonik Sunway Lagoon iaitu gunung berapi yang berdiri megah di tengah-tengah kawasan terbentang berkenaan sebagai satu simbolik pelancaran majlis yang gilang-gemilang.
Keseluruhannya, taman tema Nickelodeon Lost Lagoon ini terdiri dari 14 tarikan mengasyikkan. Anda berpeluang melihat sendiri karakter serta watak kegemaran Nickelodeon seperti SpongeBob SquarePants, Dora the Explorer serta Teenage Mutant Ninja Turtles. Terdapat bermacam teknologi yang telah di baik-pulih demi kegembiraan dan keselesaan pengunjung, antaranya pelbagai jenis gelongsor air, kedai serbaneka, permainan menyeronokkan, servis hidangan makanan istimewa dan banyak lagi!
Selain berpeluang beramah-mesra dan mengambil selfie bersama watak Nickelodeon kegemaran anda, anda dan keluarga bisa merentasi sungai melalui jambatan tergantung yang berada di tengah kawasan hutan, sambil menyertai pelbagai aktiviti basah dan liar, termasuk tunggangan yang pasti mengukir senyuman dan gelak tawa sesama anda sekeluarga. Setelah penat bermain, anda boleh lah singgah dan berehat di restoran yang terletak di tepi tasik untuk menikmati pemandangan sepetang yang indah.
Taman Tema yang dibina dengan dana berjumlah RM100 Juta itu kini menambah variasi kepada edisi taman tema yang telah sedia ada di Sunway Lagoon termasuk Taman Tema Air, Taman Hiburan, Taman Ekstrem, Taman Hidupan Liar Interaktif dan Taman Jeritan Lynton V Harris.
Untuk pengetahuan anda, Sunway Lagoon telah dinobatkan sebagai Tarikan Terbaik Asia oleh Association of Amusement Parks and Attractions (IAAPA) selama empat (4) tahun berturut-turut sejak 2007. Jelas Mark Whitehead, Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Urusan, VIMN Asia, “Pakar Sunway Lagoon telah menjadikan VIMN sebagai rakan ideal dan kami begitu teruja dan berbesar hati untuk menjadikan Taman Tema Nickelodeon sebagai suatu kenyataan sementara kami mengembangkan lagi pengenalan jenama Nickelodeon ke serata daerah ini.”
Nickelodeon Lost Lagoon di buka kepada umum bermula 3 Februari 2016. Dari jam 10am – 6pm setiap hari. Nikmati pelbagai tarikan lain yang ditawarkan pada harga RM150 untuk dewasa dan 12 tahun ke atas manakala RM120 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.
Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman Facebook rasmi Sunway Lagoon www.facebook.com/SunwayLagoonMalaysia atau hubungi terus +603-5639 0000 untuk sebarang pertanyaan atau tempahan tiket.